KENAPA ANAK LEBIH MUDAH MELEKAT DENGAN AYAH?

 


Bila kita sebut tentang anak lebih mudah melekat dengan ayah, pastinya ramai kaum ibu yang mula merajuk dengan anak sebab lebih akrab dengan ayah namun perlu kita ketahui sebab mengapa anak-anak lebih mudah rapat dengan ayah berbanding ibu.

Menurut profesor di dalam bidang kajian Perkhahwinan dan Psikologi Keluarga, Dr K.P Leibowitz, di dalam kajian beliau mendapati bahawa kanak-kanak berusia 8 bulan mampu bermain dengan gembira namun perangai mereka akan berubah sekitar 99.9% apabila melihat ibu mereka mula memasuki bilik mereka. Kenapa?

Sebenarnya, ramai para ayah dan suami tidak mengetahui bahawa anak-anak hanya akan buat perangai apabila mereka bersama ibu mereka sahaja. Ini kerana ibu itu sendiri umpama magnet apabila berada di samping anak-anak. Ini bermakna anak-anak lebih mudah melekat apabila disamping ibunya dan banyak buat perangai untuk mendapatkan perhatian ibunya tetapi lebih cenderung untuk bermain dengan ayah mereka. Macam mana tu?


Kajian mendapati bahawa emosi anak-anak lebih mudah stabil apabila bersama ayah mereka. Kerana itulah mereka lebih cenderung untuk bermain dan menghiburkan diri mereka dengan ayah mereka. Ini antara sebabnya :


Si ayah lebih penyabar dan suka melayan kerenah

Kalau dilihat dari segi situasi, yang paling banyak menghabiskan masa untuk bermain dengan anak-anak adalah si ayah. Tak kiralah walaupun penat balik dari kerja, selepas si ayah mengemaskan diri pastinya si ayah akan melayan anak-anak bermain. Tak kisahlah dari permainan yang lasak sehingga ke permainan masak-masak. Malah ada juga si ayah melayan anak-anak bermain kejar-kejar.

Pada masa tu, si ibu akan lebih cenderung melakukan tugasan rumah yang tertangguh seperti memasak, mengemas atau menjemur pakaian. Paling tidak pun, si ibu hanya akan melihat kerenah anak-anak dan ayah mereka. Tak gitu?




Anak boleh dapat semua benda apabila dengan ayah

Menurut perkongsian seorang petugas kesihatan, Siti Suryani apabila beliau dan suaminya pergi ke sebuah kedai bersama anak mereka.

Kepercayaan yang diberikan oleh ayah kepada anak-anak itu membuatkan mereka merasa bangga dan wujud satu tanggungjawab baginya. Menurut perkongsiannya, si ayah menyerahkan not Rm20 kepada si anak untuk membeli apa sahaja yang diinginkan dibawah bajet Rm20 dan bertemu dengan mereka semula disini dalam tempoh 10 minit. Di dalam konteks ini, tanggungjawab yang diberikan pada anak itu tadi adalah :
"Bajet bawah Rm20"
"Dalam masa 10 minit"

Maka, anak itu tadi akan berjalan dengan riang untuk mendapatkan apa yang diingininya mengikut "syarat" yang telah ditetapkan oleh si ayah tadi.

Cuba kalau kita tengok ibu-ibu buat macam mana? Kita tidak akan dapat melihat perkara sebegini dilakukan oleh ibu-ibu. Kalau ada pun, tidak banyak. Si ibu lebih cenderung "mengawal" pergerakan mereka kerana risau. Dari situlah munculnya ayat-ayat seperti "Mahallah", "Benda tak de faedah, buat apa beli?", "Mainan tu dah ada kan?" dan macam-macam lagi.




Ayah selalu enjoy setiap masa, ibu pula selalu risaukan masa depan

Sebagai ibu bapa, kita perlu juga menitikberatkan tentang masa depan anak-anak. Ianya satu perkara yang amat penting untuk dititikberatkan.

Senang cerita, orang lelaki ni tak fikir sangat tentang akibat. Sekarang adalah waktu sekarang. Esok lusa kemudian cerita.

Anak nak main air di luar, jom.
Anak sepahkan rumah sebab bermain, tak apa. Nanti kemas.
Anak bakar sampah di luar, ayah join sekali.
Anak nak makan mee segera, tak apa. Sekali sekala.
Anak main lompat-lompat atas meja, ayah tunggu di bawah untuk sambut.

Kalau si ibu? Nampak sahaja si anak panjat meja habis dimarahnya. Bukan apa, risau takut kalau jatuh, kita pula yang susah hati. Nampak anak sepahkan rumah pun habis dimarahnya. Bukan apa, kita ni dah penat kemas rumah tiba-tiba anak sepahkan semula. Hati ibu mana yang tak sakit kalau macam tu.

Senang cerita, semua benda tak kena apabila dengan si ibu tapi dengan si ayah boleh pula. Itu antara puncanya.
Si ayah pula jangan manjakan sangat. Nanti anak buat perangai, si ibu sakit kepala. Si ayah kerja mencari rezeki, yang layan kerenah anak-anak ni si ibu di rumah sepenuh masa.




Ayah ni jarang marah. Sebab tu sekali naik angin, anak terus terdiam

Memang sudah menjadi lumrah jika si ibu itu membebel kepada si anak lebih-lebih lagi kalau si anak buat perangai. Nak kena suruh ayahnya dulu marah baru jalan.

Kerana itu anak-anak lebih takut dengan si ayah kalau si ayah marah kerana si ayah jarang marah dan lebih tenang dalam menghadapi situasi tantrum anak-anak. Si ayah lebih cenderung kepada memujuk dahulu dengan tunaikan apa yang dikehendakinya untuk menenangkan emosi anak-anak kemudian barulah si ayah akan mula berbicara dengan anak-anak tentang sikapnya yang salah dan tidak betul.


Ayah tak banyak emosi dan tak banyak drama perasaan

Bukannya si ayah ni tak ada perasaan tetapi dari segi pengawalan emosi, si ayah lebih cenderung kepada konsisten di dalam mengawal emosi mereka terutama berhadapan dengan anak-anak.

Kebanyakan orang lelaki, vocabnya cukup ringkas dan bercakap apabila perlu sahaja. Jika kita lihat pada setiap arahan si ayah, arahannya cukup ringkas, padat dan tepat walaupun si ayah ulang sampai 10 kali. Contohnya :
"Pergi mandi sekarang"
"Bila nak buat?"
"Makan sekarang"
"Pergi solat sekarang"

Si ayah tetap tenang walaupun arahan yang semudah itu masih tidak dilaksanakan oleh anak-anak dan si ayah akan mengulang-ulang arahan tersebut banyak kali sehingga ianya dilaksanakan.

Berbeza dengan si ibu yang akan dimukadimahkan dengan bebelan terlebih dahulu dan mudah naik angin. Perlu juga kita faham, si ibu mungkin masih penat setelah selesai menyiapkan kerja-kerja di rumah, sekejap lagi nak masak pula. Baju dalam mesin basuh belum jemur lagi. Pendek kata, masih banyak kerja yang belum diselesaikan, anak-anak pula buat hal. Kerana itu si ibu lebih mudah naik angin berbanding si ayah.

Drama yang dimaksudkan adalah seperti :
"Abang tak sayang ibu ke?"
"Abang tak kesiankan ibu ke? Ibu penat ni"
"Sampai hati abang tak dengar cakap ibu"

Jarang sekali kita mendengar ayat-ayat "drama" ini terbit di bibir si ayah kan? Ini kerana emosi ayah lebih cenderung kepada "tak kisah" berbanding si ibu yang lebih mudah merajuk dan berkecil hati apabila anak-anak tidak mendengar katanya.

Jadi salahkah cara ibu? Tidak.
Kerana ibu adalah penstabil keadaan. Kalau bagi anak-anak, ayah semuanya bagus pun tak elok juga. Kalau semuanya boleh pun tak elok juga. Takut anak-anak makin naik lemak. Jadi ibulah sebagai penstabil keadaan anak-anak. Ini bermakna bagi anak-anak, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh.


Walau macam mana pun, ibu dan ayah kedua-duanya sangat penting di dalam hidup anak-anak. Tanpa ibu dan ayah, siapa lagi tempat mereka bergantung harap. Siapa lagi yang akan memuji mereka apabila mereka berjaya mencapai satu kejayaan. Siapa lagi tempat mereka untuk mengadu sakit mereka. Kitalah sebagai ibu dan ayah yang akan mencorakkan keperibadian mereka sehingga mereka menjadi orang yang berguna kelak. Semoga anak-anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah.

Kredit :

0 comments: