PRODUCT REVIEW : Haylou Solar LS05. Smart watch bajet bawah Rm200?

 


Siapa yang mahukan smart watch yang bajet tetapi masih berada di tahap yang sangat memuaskan dari segi penggunaannya? Ini adalah review ringkas tentang Haylou Solar LS05.


Kalau dah namanya pun bajet, jangan sekali-kali kita meletakkan harapan yang tinggi pada sesebuah produk yang berstatuskan "bajet". 

Haylou Solar LS05 berada di bawah smart watch kategori bajet dimana korang yang mahukan pengalaman menggunakan smart watch yang kelihatan ranggi dan stylish tetapi masih berada di bawah kemampuan korang. Percaya atau tidak, Haylou Solar LS05 didatangkan dengan harga dibawah Rm200 dengan fungsi yang tidak kurang hebatnya.


Walaupun namanya ada disebut "Solar" tapi smart watch ini tidak ada kena-mengena dengan penggunaan cahaya solar sama sekali. Mungkin namanya main letak saja kot. Ini adalah beberapa spesifikasi yang ada pada smart Haylou Solar LS05 ini :

Body : 45.3 x 11.4 (round design 45mm)
Weight : 54g
Material : Metal Frame + metal button + High quality plastik back plate
Starp : Rubber standard strap
Water Resistance : IP68
Display : 1.28" TFT LCD (240 x 240 pixel) No AOD Watchface
OS : Proprietary OS (Support Android 4.4 and above, iOS 8.0 and above)
Battery : 340mAh (30 hari penggunaan biasa tanpa sambungan bluetooth, sekitar 15 hari dengan fungsi heart rate monitoring diaktifkan)
Connectivity : Bluetooth 5.0 + BLE
Other : Ultra-Low dynamic, optical heart rate sensor, accelerometer, Dock Charging port, g-sensor, 

Jika dilihat dari segi penjenamaannya, Haylou bukanlah jenama asal pengeluarnya. Jenama "Haylou" itu sendiri jika diteliti sebutannya hampir mirip kepada bunyi "Hello". Smart watch ini dikeluarkan oleh sebuah syarikat Dongguan Liesheng Electronic Co. Ltd, sebuah syarikat pengeluar elektronik yang juga agak masyhur di China.

Secara ringkasnya, syarikat pengeluar produk Haylou Solar ini mendapat suntikan dana oleh Xiaomi dan diterapkan sebagai sebahagian daripada Xiaomi namun hubungan antara Xiaomi dan Dongguan Liesheng Electronic ini masih belum dapat dipastikan secara sahih.

Oleh kerana itu, user interface Haylou Solar ini juga kelihatan agak mirip dengan salah satu produk milik Xiaomi iaitu Amazfit seperti GTR dan T-Rex. Yang pasti, salah satu teknologi daripada produk Amazfit juga ada disuntik ke dalam Haylou Solar ini adalah penggunaan baterinya yang agak panjang dan lama.



Rekaan, material dan keselesaan

Kami tidak mengatakan bahawa Haylou Solar LS05 ini adalah smart watch terbaik tetapi sebagai smart watch bajet, ianya boleh menjadi pilihan dan boleh dikatakan sebagai pesaing yang setaraf dengan smart watch yang lain. Jika dilihat dari segi material yang digunakan iaitu Metal Frame pada body casing jam ini, kelihatan sangat elegen dan stylish. Ditambah pula dengan kemasan Matte pada permukaannya menambahkan lagi gaya pada smart watch ni.


Memang ramai juga yang tidak tahu tentang material kaca yang digunakan pada paparan smart watch ini. Boleh juga dianggarkan kaca yang digunakan adalah dari jenis biasa. Jadi, mungkin ianya akan mudah calar jika tergores pada benda yang tajam dan akan mencalarkan permukaan jam ini. Jadi, kami sarankan untuk korang beli tempered glass atau screen protector untuk melindungi permukaan kaca smart watch Haylou Solar ni.

Dengan paparan skrin 1.28" yang dikemaskan dengan TFT LCD, paparan Haylou Solar kelihatan cantik apabila korang berada di dalam rumah atau in-door. Warnanya sangat vibrant dan teks serta UI nya juga sangat tajam dan kemas. Ini kerana paparannya dimuatkan oleh 240 x 240 pixel resolution.

Bagi kegunaan diluar pula, korang perlu menaikkan Brightness ke tahap yang lebih tinggi terutama sekali apabila korang berada di bawah sinaran cahaya matahari yang terik. Skrin TFT LCD tidak sehebat skrin AMOLED yang mempunyai warna yang sangat sharp. 

Tahap kecerahan Haylou Solar LS05 ini hanya mempunyai 4 tahap kecerahan yang ditetapkan secara manual dan tiada fungsi Auto Brighness. Paling cantik kalau korang tetapkan terus tahap kecerahan paling tinggi iaitu yang ke empat. Cahayanya pun tidak terlalu silau jika digunakan di dalam rumah atau in-door. Kalau silau dan terasa terganggu juga, korang boleh tetapkan jumlah masa bagi smart watch ini menyala dalam setiap sesi nyalaan. Paling rendah, sekitar 5 saat. Kemudian, skrinnya akan terpadam semula.



Dari segi keselesaan pemakaiannya pula, kami boleh katakan agak selesa. Tidak terlalu berat dan tidak pula terlalu ringan. Sedang-sedang je gitu. Didatangkan dengan tali yang menggunakan material getah silikon yang lembut memberikan lagi keselesaan sepanjang penggunaan. Panel bahagian belakangnya pula menggunakan material plastik berkualiti tinggi dan ditengahnya pula mempunyai bulatan yang sedikit menonjol dimana Heart Rate Sensor terletak. Dibahagian bawahnya pula adalah Dock Charger yang dilekatkan menggunakan magnet.



Bila disebut tentang tali jam Haylou Solar LS05 ni, ianya hanya didatangkan dengan warna hitam sahaja dan bersaiz 22mm. Jadi korang boleh dapatkan di pasaran dari pengeluar-pengeluar lain dengan pelbagai warna yang boleh menjadi pilihan.

Dari segi cangkuknya pula dikemaskan dengan warna hitam Matte sama seperti talinya. Bagi penggunaan jangka masa yang panjang, ianya mampu memberi keselesaan kepada si pemakai dengan material talinya yang bergetah lembut namun agak kukuh dan tahan lasak. Kalau korang menukar tali kepada tali yang lain, itu bergantung kepada pengeluar tali tersebut.

Kalau korang risau Haylou Solar LS05 korang ni rosak akibat terkena air, jangan risau. Haylou Solar LS05 didatangkan dengan keupayaan kalis air IP68. Ini bermakna smart watch ini boleh bertahan didalam air selama lebih kurang 30 minit tanpa beku. Kalau setakat terkena tempias air, peluh atau hujan, masih tiada masalah. Jangan pula korang letakkan smart watch ni dalam peti sejuk dan bekukan. Jangan kata smart watch, smart phone IP68 pun boleh mati kalau macam tu punya tahap pengujian. Jangan menguji diluar kemampuan produk. Itu paling penting.




Fungsi

Jika dilihat dari segi fungsinya, ianya tidak bolehlah dibanding dengan smart watch yang lebih hebat seperti Apple Watch dan Samsung Watch. Smart watch Haylou Solar ini sangat sesuai bagi aktiviti sukan dan in-door. Malahan, korang juga boleh menaik tarafkan firmware nya dengan pergi ke pilihan Upgrade di dalam smart phone yang telah dipasangkan aplikasi Haylou Fit.

Tidak banyak perkara dan tetapan yang korang boleh lakukan secara terus pada smart watch Haylou Solar ni melainkan korang perlu memasang (install) aplikasi Haylou Fit di dalam smart phone korang dan sambungkannya dengan Haylou Solar ni. Barulah korang boleh membuat tetapan yang lebih Advance lagi seperti menukar Watch Face dengan pilihan yang lebih banyak dan juga banyak lagi tetapan yang lain.

Jika diperhatikan perisian yang sedia ada di dalam smart watch Haylou Solar ini tanpa sambungan ke aplikasi Haylou Fit, paparan utamanya adalah paparan Watch Face atau pun jam utama yang mempunyai maklumat lain seperti denyutan jantung, kiraan langkah, tarikh dan jumlah bateri bergantung kepada style Watch Face yang korang pilih.

Bermula dari paparan utama (Jam utama), jika korang slide ketepi (kanan ke kiri atau kiri ke kanan), ianya akan memaparkan jumlah langkah, jarak langkah dan kiraan kcal, kadar denyutan jantung, Sleep Counter, cuaca dan Take a Break.

Dan, kalau korang slide dari atas ke bawah, ianya akan memaparkan Tetapan, fungsi DND, tetapan kecerahan dan fungsi Find My Phone (berfungsi jika korang sambung ke smart phone korang sahaja).

Dan akhir sekali jika korang slide dari bawah ke atas, ianya akan memaparkan fungsi-fungsi lain seperti Stat, kiraan jantung, Mode Sport, cuaca, Sleep, Notice, Music Setting, Setting dan More. Didalam More pula ada tetapan lain lagi seperti Stopwatch, Countdown, Find Phone dan Breath Training (Take a Break)

Cuma dari segi animationnya, masih agak tidak smooth seperti animation pada smart watch yang lebih mahal seperti produk Apple, Samsung dan lain-lainnya tapi masih lagi boleh dipertimbangkan dan dimaafkan.



Jika dilihat dari segi ketepatan kiraan langkah dan kiraan denyutan jantungnya pula masih lagi berada di tahap memuaskan. Pengunaan bersama smart watch yang lebih tinggi seperti Amazfit GTR dan Samsung Health juga menunjukkan hasil yang hampir sama dan jauh lari perbezaannya. Jadi, tahap Accuracy kiraan denyutan jantung dan jumlah langkah pada Haylou Solar ini juga boleh dikatakan agak baik.

Dengan kemampuan sensor pada bahagian bawah panel smart watch ini tanpa adanya GPS, Haylou Solar boleh disambungkan kepada smart phone korang untuk tetapan yang lebih banyak dan korang dapat melihat setiap data yang lebih terperinci di dalam aplikasi Haylou Fit. Jika korang hanya melihat pada smart watch ini sahaja, smart watch ini hanya memaparkan beberapa data asas kepada si pemakai.

Antara ciri yang boleh dikatakan agak menarik di dalam smart watch bajet Haylou Solar ni adalah Forwarding Notification. Ini bermakna sekiranya korang mahu menggunakan fungsi ini, korang perlu sambungkan smart watch Haylou Solar ini kepada smart phone korang menggunakan bluetooth. Ciri ini akan berfungsi dimana setiap notifkasi yang masuk ke dalam smart phone korang, ianya akan dipaparkan di skrin Haylou Solar ini tanpa perlu korang keluarkan smart phone korang dari poket. Agak praktikal juga.




Secara puratanya, ciri Forwarding Notification pada Haylou Solar masih lagi praktikal namun sesekali agak kurang konsisten kepantasannya memberi notifikasi namun masih berada di tahap memuaskan. Tidak terlalu cepat dan tidak terlalu lambat. Kelemahan ciri ini pula apabila mesej yang dihantar kepada korang mempunyai emoji atau teks yang agak pelik-pelik, Haylou Solar tidak boleh memaparkannya pada paparan skrin smart watch ni. Dan bukan semua aplikasi Sosial disokong oleh Forwarding Notification Haylou Solar ni. Antaranya seperti Instagram, Youtube, Messenger, Gmail, Snapchat, FB, Twitter, Whatsapp, Pinterest, Hangouts, Linkedln, Skype, Tumblr, Viber, LINE, Flickr, WeChat, Q Q, VKontakte dan Kakau Talk. Selain daripada senarai itu, ianya tidak menyokong fungsi Forwarding Notifcation.

Setiap kali Forwarding Notification dihantar ke smart watch ini, getaran (vibrate) akan terasa pada Haylou Solar ini tetapi tidak terlalu kuat. Jadi, kadang-kadang bila smart watch ni vibrate kita tidak sedar kerana getarannya tidak terlalu kuat dan hampir-hampir tak rasa.




Incoming Call juga mempunyai UI nya tersendiri dimana korang boleh menekan butang pada paparan untuk menjawab panggilan telefon, paparan nama atau nombor pemanggil tetapi Haylou Solar tidak didatangkan dengan pembesar suara. Jadi, ianya sekadar berfungsi untuk menjawab panggilan dan mematikan panggilan sahaja. Lebih praktikal jika korang gunakan earphone berwayar dan smart phone korang disambungkan kepada Haylou Solar ni. Ada orang call, tekan sahaja di Haylou Solar dan jawab panggilan si pemanggil menggunalan earphone berwayar korang. Praktikal kan?



Antara fungsi lain yang boleh dipuji di dalam Haylou Solar ni juga adalah pengawalan lagu. Korang boleh mengawal senarai lagu yang boleh dimainkan pada smart phone korang tapi hanya pengawalan asas sahaja lah seperti lagu seterusnya, lagu sebelumnya, Play dan Pause. Korang juga boleh melihat nama artis dan tajuk lagu pada paparan skrin nya.

Dari segi fungsi ramalan cuacanya juga boleh dikatakan agak tepat dan accurate. Data yang diperolehi adalah daripada smart phone korang yang bersambung ke Haylou Solar. Grafik UI nya juga kelihatan cantik dan menarik. Keseluruhannya agak menarik dan cantik bagi tangga harga dibawah Rm200 ini.




Ketahanan Bateri

Haylou Solar dikuasakan oleh bateri berkapasiti 340mAh. Nampak kecil tetapi padu kerana teknologi ketahanannya diinspirasikan daripada produk Xiaomi iaitu Amazfit. Ianya boleh bertahan hidup sekitar 30 hari tanpa sambungan ke smart phone dan fungsi heart rate reading dimatikan dan mampu bertahan sekitar 15 hari dengan sambungan ke smart phone dan fungsi heart rate reading dihidupkan sepenuhnya.



Aplikasi tambahan - Haylou Fit

Setiap smart watch pastinya ada aplikasi tambahan yang perlu dipasang pada smart phone. Begitu juga dengan Haylou Solar LS05 ni. Aplikasinya adalah Haylou Fit di mana korang boleh dapati di Playstore.

Aplikasi ini sangat penting bagi Haylou Solar ini kerana dari aplikasi inilah korang boleh mengawal hampir keseluruhan fungsi smart watch ni termasuk menukar Watch Face dengan pilihan yang lebih banyak.

Pada ruangan Home, korang boleh dapati jumlah langkah korang dalam sehari, Heart Rate Monitoring dan juga Sleep Record.

Pada ruangan Sport, korang akan dapati Interface seperti peta dimana jarak jumlah larian korang. Pada Tab bahagian atas terdapat fungsi Walking, Running Outdoor dan Riding.

Pada ruangan Device pula, Interface menunjukkan tetapan-tetapan lain yang korang boleh tetapkan untuk Haylou Solar korang seperti Dial Setting dimana korang boleh menukar paparan utama jam korang, Heart Rate Setting, Call reminder dan banyak lagi dimana fungsi-fungsi itu semua korang matikan atau hidupkan ikut kesesuaian. 

Di dalam bahagian Universal Setting pula korang tetapkan jumlah masa berapa saat untuk jam korang menyala, unit dan Time System sama ada korang nak gunakan sistem 12-jam atau sistem 24-jam.


Secara keseluruhan, aplikasi Haylou Fit ini lebih mudah untuk difahami dengan tetapan yang tertentu dan diasingkan fungsinya. Si pemakai boleh menetapkan tetapan mengikut kesesuaian korang.

Fungsi Bluetooth juga diperlukan apabila korang membuka aplikasi Haylou Fit dimana apabila korang membuka aplikasi ini, satu mesej akan dipaparkan menunjukkan korang perlu menghidupkan fungsi Bluetooth dan sambungan kepada Haylou Solar korang akan berjalan secara automatik tanpa perlu korang membuat tetapan semula. Yang penting, korang perlu membuat sambungan kepada Haylou Solar korang untuk pertama kali sahaja.



Kesimpulannya, Haylou Solar masih lagi memberikan kepuasan kepada si pemakai yang didatangkan dengan material steel pada badannya dan getah silikon lembut pada talinya yang akan memberikan keselesaan kepada si pemakai. Bagi sistem operasinya pula, masih lagi boleh dipertimbangkan dan agak memuaskan dari segi penggunaan.

Fungsi Rise to Wake Up Screen nya pun agak memuaskan juga namun sesekali tidak konsisten. Jikalau korang mahukan penyalaan Rise to Wake Up Screen itu lebih konsisten, korang perlu ratakan kedudukan tangan korang secara horizontal yang tepat dan kilaskan lengan korang dengan tidak terlalu laju dan tidak terlalu perlahan. Yang penting, kedudukan lengan korang perlu betul-betul tepat horizontal seperti mana korang tengok jam.

Apa-apa pun, ini antara pilihan smart watch bajet yang boleh dimasukkan ke dalam pilihan korang yang mahukan smart watch bajet. Harganya pun masih dibawah tangga Rm200. Confirm lah mampu milik kan tapi jangan letakkan harapan terlalu tinggi ya. Namanya pun bajet. Pasti ada yang lebih dan ada yang kurang.

Kredit :

1 comments:

Anonymous said...

Jackpot City - Lucky Club
The luckyclub.live best real money Jackpot City casino is at Jackpot City. It's the best in the world. JackpotCity offers a 100% casino games, including