Siapakah orang mula-mula menunaikan setiap solat fardhu?


Solat merupakan tiang agama bagi seluruh umat Islam diseluruh dunia tidak kira usia,pangkat,harta atau apa sahaja keadaan.Tuntutan ini telah lama diterapkan di dalam kehidupan seharian kita malahan di dalam Al-Quran juga Allah ada menyebutkan tentang kewajipan dalam menunaikan hak-Nya ini.

Namun,siapakah orang yang mula-mula menunaikan setiap solat fardhu yang diwajibkan keatas umat Islam bermula daripada Subuh sehingga Isya'?

Sejarah awal solat lima waktu

Solat lima (5) waktu telah diwajibkan keatas umat nabi Muhammad SAW yang merupakan penutup kepada segala nabi dan rasul serta penghulu kepada segala para anbia.

Jika dibandingkan dengan para nabi sebelumnya, proses solat dilakukan atas beberapa faktor tetapi ibadah solat yang diwajibkan ke atas umat Rasulullah SAW diterima oleh baginda secara terus atau 'direct' daripada Allah SWT.Peristiwa ini mencatatkan perintah permulaan solat daripada Allah SWT yang pada asalnya adalah 50 waktu sehari semalam.

Baginda dibawa ke Sidratul Muntaha itu sendiri iaitu satu tempat yang tidak boleh didatangi oleh manusia lain kecuali Rasulullah malahan para malaikat juga tidak dibenarkan untuk kesana.Sidratul Muntaha terletak melepasi lapisan langit ketujuh.

Baginda Rasulullah berangkat pada malam 27 Rejab iaitu tahun ke-11 kerasulan baginda yakni dalam tahun 622 Masihi.Kewajipan solat ini diterima oleh Rasulullah di dalam peristiwa Israk dan Mikraj dimana selain daripada menerima perintah kewajipan solat,  baginda juga berpeluang berjumpa dengan para nabi dan rasul terdahulu malahan berkesempatan untuk berbual dengan para anbia terdahulu.

Rasulullah juga dipertontonkan dengan manusia yang menanggung azab seksa kerana mengingkari perintah Allah dan Rasul-Nya serta Rasulullah juga dipertontonkan kenikmatan mereka yang patuh kepada perintah Allah.

Pada asalnya solat yang diperintahkan oleh Allah kepada Rasulullah adalah sebanyak 50 waktu.Baginda menerima perintah tersebut dan ingin kembali ke bumi namun setibanya di langit keenam, baginda bertemu dengan Nabi Musa A.S lalu Musa bertanya tentang perintah yang diberikan oleh Allah SWT.

Lalu baginda menjawab, perintah untuk menunaikan solat sebanyak 50 waktu sehari semalam telah diberikan oleh Allah SWT kepadanya.Nabi Musa A.S menasihatkan baginda Rasulullah untuk kembali bertemu Allah SWT bagi meminta untuk dikurangkan jumlah waktu solat tersebut.Ini kerana umat terdahulu juga gagal melaksanakan perkara yang diperintahkan oleh Allah SWT apatah lagi untuk umat Rasulullah untuk melakukan solat 50 waktu sehari semalam.

Rasulullah menerima nasihat itu lalu baginda pun kembali menghadap Allah SWT untuk meminta pengurangan jumlah solat 50 waktu.Lalu Allah mengurangkan jumlah 50 waktu kepada 40 waktu.Lalu Rasulullah kembali turun ke lapisan langit keenam untuk bertemu Nabi Musa A.S.Namun Nabi Musa A.S mencadangkan agar jumlah itu dikurangkan lagi.

Begitulah seterusnya berulang kali sehingga jumlah tersebut berkurangan menjadi 5 waktu.Selepas perintah itu ditetapkan menjadi 5 waktu, Rasulullah turun bertemu Nabi Musa dan mencadangkan lagi agar jumlah waktu itu dikurangkan lagi namun baginda Rasullullah berasa malu memohon keringanan berulang kali kepada Allah SWT dan baginda redha dan akur menerima perintah solat 5 waktu sehari semalam.

Kemudian baginda Rasulullah kembali ke bumi dengan membawa perintah Allah untuk solat 5 waktu sehari semalam.Pada awal kewajipan bersolat, semua waktu solat hanya diwajibkan dua rakaat sahaja kecuali Maghrib iaitu tiga rakaat.

Namun selepas berhijrah ke Madinah, Rasulullah mendapat wahyu supaya tiga waktu solat iaitu Zuhur , Asar dan Isya' ditambah dua rakaat setiap satu waktu itu.Ini bermakna setiap waktu itu menjadi empat rakaat.Waktu Maghrib dan Subuh pula dikekalkan jumlah rakaatnya iaitu tiga rakaat untuk Maghrib dan dua rakaat untuk Subuh.




Orang pertama menunaikan solat Subuh

Manusia pertama yang mengerjakan solat Subuh adalah Nabi Adam A.S iaitu ketika baginda keluar daripada syurga lalu diturunkan ke bumi.

Nabi Adam A.S dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi kerana kesalahan memakan buah larangan daripada Allah SWT yang disebut sebagai buah Khuldi.Semasa diturunkan ke bumi, yang pertama dilihat oleh Nabi Adam A.S ialah kegelapan.Baginda merasa terlalu takut.Namun apabila fajar menjelang Subuh, persekitaran mulai terang dan Nabi Adam A.S berasa syukur apabila persekitaran mulai cerah.Nabi Adam A.S melanjutkan solat 2 rakaat.

Rakaat pertama : Sebagai tanda syukur kerana terlepas daripada kegelapan malam.
Rakaat kedua : Sebagai tanda syukur kerana siang hari telah menjelma.


Orang pertama menunaikan solat Zuhur

Manusia pertama yang mengerjakan solat Zuhur adalah Nabi Ibrahim A.S iaitu ketika Allah SWT memerintahkan baginda agar menyembelih anaknya sendiri iaitu Nabi Ismail A.S sebagai melepaskan nazar baginda.

Seruan itu datang ketika waktu tergelincirnya matahari yakni bertepatan waktu Zuhur.Lalu Nabi Ibrahim A.S bersujud sebanyak 4 rakaat.

Rakaat pertama : Bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua : Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacita baginda dan anaknya.
Rakaat ketiga : Tanda bersyukur dan memohon keredhaan Allah SWT.
Rakaat keempat : Tanda bersyukur kerana korban pada asalnya untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail digantikan dengan seekor kibas sebagai penebusan.


Orang pertama menunaikan solat Asar

Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar adalah Nabi Yunus A.S iaitu ketika baginda dikeluarkan daripada perut ikan Nun.

Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus A.S di tepi pantai dimana ketika ini telah masuk waktu Asar.Sebagai tanda syukur kerana dilepaskan dari perut ikan Nun, Nabi Yunus A.S menunaikan solat 4 rakaat sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT dan dilepaskan daripada 4 kegelapan.

Rakaat pertama : Tanda syukur kerana dilepaskan daripada kegelapan dengan kesalahan yang dilakukan.
Rakaat kedua : Tanda syukur kerana dilepaskan daripada kegelapan dibawah laut.
Rakaat ketiga : Tanda syukur kerana dilepasakan daripada kegelapan malam.
Rakaat keempat : Tanda syukur kerana dilepaskan daripada kegelapan di dalam perut ikan Nun.


Orang pertama menunaikan solat Maghrib

Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib adalah Nabi Isa A.S iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya dimana ketika itu telah terbenamnya matahari yakni masuknya waktu Maghrib.

Lalu Nabi Isa A.S menunaikan solat 3 rakaat sebagai tanda syukur baginda kepada Allah SWT.

Rakaat pertama : Sebagai tanda syukur kerana baginda berjaya menafikan ketuhanan selain daripada Allah SWT yang Maha Esa.
Rakaat kedua : Sebagai tanda syukur kerana berjaya menafikan tomahan fitnah keatas bonda baginda Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang dan zina.
Rakaat ketiga : Sebagai tanda syukur kerana berjaya menyatakan kepada kaum baginda bahawa Tuhan itu satu iaitu Allah SWT dan tiada duanya atau tiganya.


Orang pertama menunaikan solat Isya'

Manusia pertama yang mengerjakan solat Isya' adalah Nabi Musa A.S iaitu pada ketika itu Nabi Musa A.S telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan dimana ketika ini dadanya penuh dengan perasaan dukacita.

Lalu Allah SWT menghilangkan kesemua perasaan dukacita baginda pada waktu Isya' yang akhir.Lalu baginda Nabi Musa A.S menunaikan solat 4 rakaat sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.

Rakaat pertama : Tanda bersyukur kerana pelepasan dukacita terhadap isterinya yang terpisah dan baginda dapat kembali kepada isteri dan kampung halamannya.
Rakaat kedua : Tanda bersyukur kerana pelepasan dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun dan dapat kembali bertemu dengan Nabi Harun serta berganding bahu bagi menyampaikan seruan Allah
Rakaat ketiga : Tanda bersyukur kerana pelepasan dukacita terhadap Firaun dan terlepas daripada tindakan Firaun.
Rakaat keempat : Tanda bersyukur kerana pelepasan dukacita terhadap anak Firaun yang mengkhianatinya.



Apa yang dimaksudkan dengan waktu Isya' yang akhir?

Waktu Isya' yang akhir adalah sepertiga malam iaitu lebih kurang pada jam 10 malam ke atas.Dikatakan juga ini merupakan waktu paling mustajab untuk menunaikan solat fardhu Isya' disertakan juga dengan solat-solat sunat yang lain seperti solat hajat, istikharah, tahajjud dan lain-lain.

Sebaik-baiknya perlu kita menunaikan solat pada awal waktu namun bagi waktu solat Isya' sebaik-baik waktu adalah sepertiga malam malahan boleh dilanjutkan dengan solat-solat sunat yang lain.Pada sepertiga malam ketika ini suasananya amat sunyi dan kurang gangguan.Oleh itu, ketika menunaikan solat pada ketika ini adalah sangat mustajab kerana dapat memberikan tahap khusyuk yang paling tinggi.


Kredit :



 Hujan Emas : Solat merupakan perkara yang wajib untuk kita tunaikan kerana itu adalah hak-Nya dan kewajipan kepada umat Islam.Berbanding 50 waktu pada asalnya dikurangkan kepada 5 waktu.Rasanya tidak rumit untuk kita lakukan kerana Allah menyediakan 24 jam untuk setiap seorang dan setiap solat tak sampai 15 minit untuk dilakukan.Jadi apa masalah?

Comments

Ujang Ikobana said…
Rasul berkata "Wahai Pemeliharaku, sesungguhnya KAUMKU mengambil Al Quran sebagai sesuatu yang TIDAK DIPEDULIKAN (25:30)