Sejarah Hari Raya Haji Aidiladha Dan Ibadah Korban







Pada 1 September 2017 bersamaan 10 Zulhijjah,seluruh umat Islam seluruh dunia mengerjakan ibadah korban selaras dengan tuntutan ajaran Islam yang suci.Hampir kebanyakan tempat mengerjakan ibadah korban dengan menumbangkan lembu untuk dijadikan korban.

Namun,daripada manakah bermulanya sejarah ibadah korban yang kita lakukan saban tahun?Kisah ini bermula pada zaman nabi Allah Ibrahim yang taat dan patuh kepada perintah Allah untuk mengorbankan puteranya,Nabi Ismail.


Allah memberi dugaan pada awal perkahwinan


Selain dugaan yang diterima oleh Nabi Ibrahim dalam menyampaikan dakwah kepada kaumnya, Nabi Ibrahim juga diduga dengan satu ujian berkeluarga yang amat berat. Dugaan tersebut benar-benar menguji kesabaran beliau sebagai seorang pesuruh Allah, iaitu Nabi Ibrahim tidak dikurniakan cahaya mata sehingga berusia 86 tahun.

Dan pada satu ketika, Nabi Ibrahim telah menadah tangannya lalu berdoa kepada Allah:

"Ya Tuhanku, Engkau anugerahkanlah kepada aku (seorang anak) yang tergolong daripada orang-orang yang soleh," (Ash-Shafaat [37]:100)

Sesungguhnya Allah telah mendengar doa beliau dan memberikan khabar gembira bahawa beliau akan dikurniakan seorang anak yang sangat penyabar. Nabi Ibrahim tidak mempunyai anak bersama isterinya, Sarah, sehingga usia Sarah sudah lanjut. Sarah yang terpaksa sabar dengan dugaan itu kemudiannya meminta Nabi Ibrahim untuk mengahwini Hajar, putri Raja Mesir.



Kelahiran putera pertama Nabi Ibrahim


Akhirnya, selepas beberapa ketika Nabi Ibrahim menikahi Hajar, berita gembira diturunkan dari langit bahawa Hajar telah mengandungkan seorang putera. Putera pertama Nabi Ibrahim ini telah diberi nama Ismail. Ahli-ahli sejarah menyatakan bahawa Nabi Ismail dilahirkan oleh Hajar ketika Nabi Ibrahim berusia 86 tahun.

Dan disebabkan kesabaran dan pengorbanan Sarah sebagai isteri yang taat, Allah juga mengurniakannya seorang anak, iaitu Nabi Ishak, ketika Nabi Ibrahim berusia 100 tahun.



Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Ismail



Dan ketika Ismail masih menyusu, Nabi Ibrahim membawa Ismail dan Hajar ke Mekah, yang ketika itu Mekah tidak mempunyai penduduk dan tidak ada setitis air pun. Dan tak semena-mena, Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Ismail yang dibekalkan dengan botol yang mengandungi air, serta beg kecil mengandungi kurma.




Ketika Nabi Ibrahim berlalu pergi, beliau telah mengikutinya dan bertanya:

"Wahai Ibrahim, ke manakah engkau hendak pergi? Adakah engkau mahu meninggalkan kami di kawasan lembah yang tidak ada seorang manusia dan juga langsung tidak mempunyai makanan".

Hajar bertanya berkali-kali kepada Nabi Ibrahim, namun Nabi Ibrahim langsung tidak menolehkan wajahnya kepada Hajar. Dan kemudian, Hajar bertanya sekali lagi kepada Nabi Ibrahim.

"Adakah Allah yang memerintahkan mu untuk melakukan perkara ini?"

Nabi Ibrahim lalu menjawab, "Ya". Mendengar jawapan itu, hati Hajar berasa lega seraya membalas, "Jikalau begitu, aku yakin bahawa kami tak akan disia-siakan," dan kembali ke tempat yang ditinggalkan.



Nabi Ibrahim kemudian berlalu pergi, sehinggalah ke suatu tempat yang jauh yang diberi nama Tsamiyah. Nabi Ibrahim kemudiannya berhenti dan menadah tangan sambil wajahnya menhadap ke Baitullah lalu berdoa:

"Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah meninggalkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah kawasan lembah yang langsung tidak mempunyai tanaman, berdekatan dengan rumahMu (Baitullah) yang terhormat, agar mereka mendirikan solat. Maka, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia manusia supaya cenderung kepada mereka dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur". (Ibrahim [14] : 37)



Peristiwa Safa dan Marwah

Hajar yang ditinggalkan bersama Ismail, kemudian minum air yang disediakan Nabi Ibrahim dan menyusukan Ismail. Setelah beberapa ketika, air di dalam botol tersebut telah habis dan kedua-duanya berasa sangat haus, sehingga Ismail merengek-rengek. Hajar kemudiannya terpaksa mencari sumber air dan meninggalkan Ismail di situ.


Walaupun tempat sa'e sudah dibangun begitu modern untuk memudahkan jemaah haji melaksanakan rukun haji, tetapi bahagian dari bukit safa dan Marwa tetap ada.



Hajar berlari ke Bukit Safa, iaitu bukit yang paling dekat dengannya. Hajar naik ke atas bukit tersebut sambil melihat ke lembah sekitar jika ada orang di sana, malangnya tidak ada siapa pun di situ. Hajar kemudiannya bersusah payah menuruni bukit itu, dan kemudiannya berlari ke Bukit Marwah. Beliau sekali lagi memanjat bukit itu untuk melihat jika ada orang di sana, namun tiada siapa juga di situ.

Hajar mengulangi perbuatan itu sebanyak 7 kali. Kali terakhir mendekati Bukit Marwah, Hajar terdengar satu suara dan mendiamkan diri supaya dapat mendengar dengan lebih jelas. Lalu Hajar berkata, "Engkau telah memperdengarkan. Adakah Engkau dapat menolong?”.

Tiba-tiba beliau mendapati terdapat Malaikat berdekatan dengan sumber air zam-zam, dan malaikat itu menggalikan tanah menggunakan tumitnya (dalam riwayat lain mengatakan dengan sayapnya) sehingga terkeluar air.




Tanpa berlengah Hajar menghulurkan tangan dan mengambil air tersebut dan memasukkan ke dalam bekasnya. Semakin beliau menceduk air itu, semakin deras ia keluar.

Ibnu Abbas mengatakan , Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

يَرْحَمُ اللهُ أُمُّ إِسْمَعِيْلَ لَوْ تَرَكَتْ زَمْزَمَ أَوْ قَالَ لَوْ لَمْ تَغْرِفْ مِنَ الْمَاءِ لَكَانَتْ زَمْزَمُ عَيْنًا مَعِيْنًا

“Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada ibunya Ismail , jika saja ia membiarkan Zamzam atau beliau bersabda: Seandainya dia tidak mencedokkan airnya, nescaya Zamzam menjadi mata air yang mengalir.”

Air itu kemudiannya diminum oleh Hajar lalu menyusui Ismail. Ismail dijaga oleh Hajar dengan baik dan membesar dengan sihat.




Perkaitan sembelihan korban dengan Aidiladha


Sembelihan korban pada Aidiladha adalah disebabkan nazar Nabi Ibrahim yang suka berkorban haiwan ternakan dengan banyak iaitu 1000 ekor kambing, 300 ekor lembu dan 100 ekor unta sehinggakan para malaikat pun mengagumi perbuatannya.

Dan disebabkan itu, Nabi Ibrahim pernah berkata, "Apa yang aku korbankan belumlah menjadi apa-apa bagiku. Demi Allah, jika aku mempunyai anak lelaki, akan aku korbankan dia ke jalan Allah,".


Hinggalah beliau berkata, "Semua yang menjadi qurbanku itu belumlah menjadi apa-apa bagiku. Demi Allah, kalau aku mempunyai anak lelaki, tentu aku akan persembahkan juga di jalan Allah dan aku korbankan dia untuk Allah SWT."

Nabi Ibrahim yang terlupa akan nazarnya itu kemudian memohon doa agar dikurniakan anak di mana lahirlah Ismail.



Nabi Ibrahim bermimpi tentang penyembelihan Ismail


Dan ketika Ismail sudah boleh berjalan (ada ulama mengatakan berusia 7 tahun dan ada yang mengatakan 13 tahun), pada 8 Zulhijjah (malam tarwiyah), Nabi Ibrahim bermimpi akan satu perintah yang berkata, "Wahai Ibrahim, tunaikanlah nazarmu,". Bangun keesokan harinya, Nabi Ibrahim terfikir sama ada ia mimpi dari Allah atau dari syaitan.

Nota : 8 Zulhijjah digelar sebagai hari tarwiyah bersempena perkataan "fikir" iaitu "Tarwiyah" dalam bahasa Arab.




Kemudian, Nabi Ibrahim sekali lagi bermimpi perkara yang sama. Pada keesokan harinya iaitu 9 Zulhijjah, Nabi Ibrahim pasti mimpi tersebut itu adalah daripada Allah.

Nota : 9 Zulhijjah digelar sebagai hari Arafah bersempena perkataan "pasti" iaitu "Arafah" dalam bahasa Arab.




Nabi Ibrahim sekali lagi bermimpi perkara yang sama pada hari ketiga, yang meyakinkan bahawa Allah memerintahkan supaya beliau melaksanakan nazarnya iaitu melakukan penyembelihan.
Nota : 10 Zulhijjah digelar sebagai hari Nahar bersempena perkataan "sembelih" iaitu "Nahrun" dalam bahasa Arab.



Nabi Ibrahim kemudiannya berjumpa dengan Ismail dan memberitahu perintah untuk menyembelihnya. Ismail lalu menjawab, "Wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan ke atas mu, insyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk dari mereka yang sabar," (Ash-Shafaat [37] : 102)



Ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim kepada perintah Allah


Ketika hari penyembelihan, Iblis tidak duduk diam dan menghasut Nabi Ibrahim supaya tidak melakukannya, namun tidak diendahkan hasutan itu. Kecewa gagal mempengaruhi Nabi Ibrahim, Iblis kemudiannya mencari Hajar untuk dihasut pula.

Hajar yang tidak mengetahui akan perkara itu telah diberitahu Iblis, dan berasa terkejut dengan berkata, "Jangan engkau bohong, saya tidak pernah dengar ada seorang ayah tergamak menyembelih anaknya sendiri. Untuk apa dia menyembelihnya?"

Iblis kemudian menjawab, "Ibrahim menyangka bahawa Tuhannya yang telah memerintahkannya,". Mendengar jawapan itu, Hajar lalu berkata, "Jika begitu, Nabi Ibrahim tak pernah diperintahkan untuk melakukan sesuatu yang batil, maka aku sendiri bersedia untuk menebus perintah itu dengan nyawaku, apatah lagi dengan nyawa anakku,"

Kecewa sekali lagi, Iblis cuba menghasut Ismail pula, dan ketika itulah Nabi Ibrahim, Ismail dan Hajar melontarkan batu kepada Iblis yang mencederakkan mata Iblis yang kemudiannya berlari pergi.

Nota : Perbuatan melontar batu ini diabadikan dalam ibarah haji iaitu melontar jamrah.





Berbekalkan tali dan pisau, Nabi Ibrahim mengikat tangan dan kaki serta bersedia untuk menyembelih Ismail. Nabi Ibrahim kemudiannya membaringkan Ismail. Kedua-duanya berserah bulat-bulat kepada perintah Allah. Ismail dibaringkan dengan sisi mukanya di atas tanah. Pisau diletakkan di leher Ismail, dan Nabi Ibrahim mula menyembelih Ismail dengan kuatnya.

Tetapi, leher Ismail tidak sedikit pun terluka. Ismail kemudian berkata kepada ayahnya, "Wahai ayahku, leraikanlah tali pada tangan dan kakiku agar Allah tidak melihat aku seperti orang yang terpaksa,"

Nabi Ibrahim lalu membaringkan anaknya sekali lagi tanpat ikatan, lalu melakukan penyembelihan kali kedua. Dengan izin Allah, leher Ismail tidak terluka.

Ismail sekali lagi bersuara, "Wahai ayahku, engkau menjadi lemah kerana masih ada rasa cintamu kepadaku, yang membuatkanmu tidak dapat menyembelih aku,"

Nabi Ibrahim kemudian mengambil pisau tersebut dan membelah batu, maka putus dua batu itu, seraya berkata, "Wahai pisau, engkau mampu membelah batu tetapi kenapa tidak mampu memotong daging?"

Dengan izin Allah, pisau itu berkata, "Wahai Ibrahim, engkau mengarahkan aku dengan berkata 'Potonglah', sedangkan Allah berfirman 'Jangan engkau potong', bagaimana aku boleh menderhaka Tuhanmu dan mengikut perintahmu?"

Allah SWT kemudiannya berfirman:

قَدۡ صَدَّقۡتَ ٱلرُّءۡيَآ‌ۚ إِنَّا كَذَٲلِكَ نَجۡزِى ٱلۡمُحۡسِنِينَ

"Dan Kami (Allah) menyeru: Hai Ibrahim, sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang yang berbuat baik."
Malaikat Jibril lalu muncul membawa seekor kibas sebagai pengganti Ismail, sepertimana dalam firman Allah S.W.T :

"Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar," (As Shaffaat:37:107)



Begitulah kisah dan teladan yang ditunjukan oleh nabi Allah Ibrahim dan nabi Allah Ismail tentang ketaatan dan pengorbanannya kepada Allah yang Maha Esa.Sungguh besar ujian Allah terhadap beliau yang mana tidak dikurniakan zuriat sehingga berusia 86 tahun. Dan apabila dikurniakan Ismail, diperintahkan pula oleh Allah untuk meninggalkan Hajar dan Ismail di lembah tak berpenghuni dan tak ada makanan.

Dan apabila Ismail membesar, kesabaran dan ketaatan Nabi Ibrahim dan Ismail sekali lagi diuji dengan diperintahkan menyembelih anaknya. Disebabkan ketaatan mereka, Allah telah memberikan ganjaran dengan menggantikan Ismail dengan seekor kibas.

Betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.Begitulah rentetan peristiwa sejarah Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban.Semoga bermanfaat untuk semua.Wassalam.





 Hujan Emas: Adakah kita sanggup berkorban apa sahaja demi Allah? Demi mendapatkan keberkatan dariNya? Kadang-kadang kita nak menderma RM1 pada masjid dan surau pun berkira. Siap belek-belek duit tu banyak kali takut-takut terlebih..

0 comments: