Diorama bukanlah satu hobi yang mudah.Penghasilannya begitu rumit dan memakan masa yang cukup panjang.Apa yang paling penting di dalam proses penghasilannya adalah kesabaran.
Apa yang membuatkan penghasilan diorama ini mencabar?
Pada 23 Oktober yang lalu,Hujan Emas telah menerbitkan artikel berkaitan Miniatur yang boleh kita dapati di Malaysia iaitu di Summit Shopping Complex , USJ.
Kali ini,sekali lagi Hujan Emas ingin mengupas topik berkaitan miniatur tetapi artikel kali ini kita akan lebih fokus kepada definisi diorama.
Definisi Diorama
Perkataan "Diorama" merujuk kepada persembahan teater abad ke-19 yang menggunakan model skala tiga dimensi (3D) bersaiz sebenar atau miniatur yang menunjukkan kehidupan seharian masyarakat tertentu.Kebiasaannya persembahan diorama dipersembahkan di dalam kurungan kaca.
Diorama juga bukan terhad kepada persembahan di muzium sahaja malahan ia juga merupakan salah satu daripada hobi kepada peminat-peminat persembahan miniatur dan diorama.Kebiasaannya hobi ini dipersembahkan dengan merekabentuk rekaan tertentu seperti kenderaan tentera , model miniatur atau model kapal terbang.
Secara asasnya,perkataan "Diorama" telah wujud sejak tahun 1823 sebagai medium pengantara persembahan model di Perancis pada tahun 1822.Dalam istilah bahasanya,Diorama lebih merujuk kepada "Melihat situasi sebagaimana situasi sebenar" dalam istilah Greek.
Seni persembahan diorama secara dasarnya diasaskan Loius Daguerre dan Marie Bouton di Paris pada July 1822 dan London pada September 1823.Diorama diistilahkan sebagai "suasana replika kecil" bermula pada tahun 1902.
Latar belakang diorama yang dihasilkan oleh Daguerre dan Bouton dibina menggunakan beberapa material yang dicat di bahagian depan dan belakang bagi menampakkan suasana yang dipilih.Ini bertujuan menampakkan suasana yang berbeza dari setiap sudut yang berlainan walaupun ianya adalah satu diorama yang sama.Salah satu hasil seni diorama Daguerre dan Buoton adalah menunjukkan suasana perubahan pada waktu siang sehingga ke malam , suasana kereta api yang di dalam perjalanan akan mengalami kemalangan dan suasana sebelum dan selepas kejadian gempa bumi.
Pada masa kini,ramai dikalangan peminat diorama cuba untuk menghasilkan dioramanya tersendiri.Walaupun sebenarnya penghasilannya adalah rumit dan memerlukan kesabaran yang cukup tinggi,oleh kerana minat segalanya pasti berhasil.
Bayangkan,bagaimana kita mahu menjadikan pandangan bandaraya Kuala Lumpur di dalam satu model persembahan dalam skala yang kecil.
Diorama melibatkan pelbagai aspek dan elemen.Diorama bukan terhad kepada miniatur sahaja malahan diorama juga melibatkan persembahan model bersaiz sebenar seperti suasana orang kampung sedang menyapu halaman rumah , suasana pelancong mengambil gambar bangunan bersejarah dan bermacam-macam lagi.
Diorama pertama kalinya digunakan adalah di muzium Stockholm , Sweden dimana ketika adalah pelancaran pembukaannya pada tahun 1893.Beberapa diorama dipersembahkan di beberapa tingkat muzium.
Diorama Miniatur dan Diorama Saiz Sebenar
Secara lazimnya,diorama dipersembahkan di dalam dua (2) kategori iaitu Diorama Miniatur dan Diorama Saiz Sebenar.
Bagi Diorama Miniatur kebiasaannya dipersembahkan dalam satu pandangan suasana dan model dalam skala yang lebih kecil.Susunan model bagi diorama miniatur biasanya lebih rumit dan memerlukan ketelitian yang cukup tinggi kerana skalanya adalah dalam skala mikro.Susunan yang bertepatan dengan situasi sebenar menampakkan lagi pandangan suasana tersebut seakan benar-benar hidup di alam miniatur.
Model Diorama Miniatur pertama kali digunakan oleh pegawai tentera British antara tahun 1830 hingga 1838.William Siborne mempersembahkan diorama miniatur bertajuk "Battle of Waterloo" pada tahun 1815.Persembahan Diorama Miniatur William merangkumi 70,000 model tentera berskala kecil yang sedang berperang dan sekarang ianya dijadikan harta muzium di National Army Museum , London.
Bagi persembahan Diorama Saiz Sebenar pula kebiasaannya melibatkan beberapa elemen suasana tertentu sahaja seperti orang kampung menyapu halaman rumah , suasana orang kampung menumbuk padi dan bermacam-macam lagi.
Kebiasaannya,latar belakang bagi Diorama Saiz Sebenar memberikan satu suasana yang seakan benar-benar hidup dengan latar belakang yang dicat secara berlapis sekali gus menimbulkan jarak latar belakang tertentu seperti gunung-ganang , lautan , awan dan langit.
Selain itu,persembahan latar belakang juga memberikan perspektif pandangan yang berbeza dari setiap sudut.Diorama Saiz Sebenar pula susah untuk diubahsuai kerana sekiranya silap diubahsuai ia akan mempengaruhi pandangan kepada model menjadi cacat dan tidak seimbang.
Carl Akeley merupakan salah seorang yang menghasilkan Diorama Saiz Sebenar yang menggambarkan habitat memerang pada tahun 1889.Diorama Akeley dipersembahkan dalam skala saiz sebenar yang mengambarkan habitat memerang dalam tiga dimensi (3D) yang mempunyai elemen hutan dan kayu , latar belakang yang dicat suasana hutan dan ianya menampakkan seolah-olah hidup.
Akeley dibantu oleh Frank M. Chapman yang menggabungkan unsur-unsur hutan di dalam persembahan Akeley.
Kegunaan Diorama
Selain daripada hobi,Diorama juga turut mempunyai peranan tertentu seperti menggambarkan situasi sebenar daripada kejadian sejarah.Seperti persembahan diorama di Norway Resistance Museum di Oslo , Norway.Satu landskap diorama dibina membentuk rel kereta api lama dan suasananya ketika itu.
Selain itu,kegunaan diorama juga tidak terhad kepada suasana sejarah sahaja malahan ia juga digunakan untuk menggambarkan suasana peperangan dan pertempuran seperti peperangan moden yang menggunakan senjata api.
Pada abad ke-20,kebanyakan model diorama sebegini dicipta untuk menunjukkan spesifikasi pada model tertentu seperti kapal perang laut dan kapal terbang yang dilengkapi beberapa senjata khas dan model diorama ini dihasilkan dalam skala kecil yang berbentuk model sebenar.
Salah satu daripada model diorama yang terbesar pernah dihasilkan adalah model diorama keseluruhan bandar California yang menunjukkan Panama-Pasific International Exposition pada tahun 1915.
Diorama itu terhasil bagi tujuan pembelajaran di Amerika Syarikat yang kebanyakan pelajarnya daripada sekolah tinggi.Persembahan diorama ini menunjukkan elemen sejarah , kitaran ekologikal , budaya masyarakat dan pelbagai lagi.
Diorama Sebagai Hobi
Bagi peminat diorama,kesukaran bukanlah menjadi penghalang di dalam menghasilkan dioramanya sendiri.Malahan bagi peminat tegar diorama,mereka sanggup menghabiskan beratus-ratus jam untuk membina diorama sendiri dan sanggup menghabiskan beratus-ratus ringgit semata-mata untuk melengkapkan diorama milik mereka.
Apa yang penting adalah kepuasannya yang tidak dapat dibeli dan berpuas hati dengan hasilnya apabila dioramanya siap.
Pelbagai elemen diorama boleh didapati di pasaran ketika ini.Penghasilan diorama tidak terhad kepada elemen suasana bandar dan kampung atau situasi tertentu sahaja.Watak di dalam komik atau tayangan movie juga boleh dijadikan diorama.
Sebagai contoh bagi peminat siri anime Jepun,Gundam.Watak robot di dalam siri Gundam boleh didapati dalam bentuk skala model.Aksi model Gundam dan saiznya juga akan mempengaruhi harganya.Ada dikalangan peminat Gundam membeli model skala Gundam untuk dijadikan koleksi dan hiasan sahaja.
Bukan itu sahaja,bagi peminat yang menggemari koleksi Gundam dan mahukan suasana diorama bagi model Gundam,mereka sanggup menghabiskan wang ringgit dan masa demi memenuhi hobi membina diorama.
Penghasilannya bukanlah mudah.Pelbagai elemen perlu dititikberatkan seperti mengikut situasi siri anime Gundam yang sebenar , rekaan bangunan yang hancur akibat peperangan antara robot Gundam , corak air laut di sekeliling robot Gundam yang tenggelam dan banyak lagi scene di dalam siri Gundam yang akan dibina dijadikan diorama.
Jika kita perhatikan bagaimana telitinya penghasilan diorama yang dihasilkan dari segi tektur yang diingini seperti bangunan yang runtuh , pokok disekelilingnya , kenderaan tentera yang rosak teruk dan pelbagai lagi.Segalanya dibina dengan teliti bagi menampakkan suasana peperangan Gundam yang sebenar mengikut siri anime asal Gundam.
Penghasilannya tidak terhad untuk mengikut suasana di dalam siri anime Gundam sahaja.Peminat diorama juga boleh menggunakan kreativiti sendiri untuk menghasilkan situasi diorama Gundamnya sendiri.
Bergantung kepada kreativiti peminat.Model skala Gundam boleh didapati di pasaran dalam pelbagai aksi dan saiz.Peminatnya hanya membayangkan situasi yang diingini dan dapatkan material yang akan digunakan untuk menghasilkan dioramanya sendiri.
Itu kisahnya bagi peminat siri anime Gundam.Bagaimanapula dengan peminat siri anime Jepun yang lain?
Sudah semestinya ada banyak lagi model skala anime Jepun yang lain di pasaran yang boleh didapati.Sebagai contoh siri anime One Piece daripada Jepun.Ada saja model skala untuk siri anime ini yang boleh didapati dalam pelbagai saiz dan aksi.
Bagi peminatnya,ada yang membeli model skala ini untuk dijadikan koleksi dan ada juga yang menjadikannya sebagai diorama.Apa yang paling penting adalah kreativiti dan kesabaran dalam penghasilan seni diorama.
Tidak kiralah apa jua model skala yang dijadikan diorama,segalanya memerlukan kreativiti yang terbaik dan kesabaran yang tinggi dalam penghasilannya.Soal masa dan wang ringgit tidak menjadi masalah kerana seni diorama ini merupakan satu hobi yang menjanjikan kepuasan yang tidak dapat dibeli.
Kredit :
0 comments:
Post a Comment